KK44 Perumpamaan tentang Pegawai yg Tidak Mahu Mengampuni Orang

Minggu 44   Perumpamaan tentang Pegawai yang Tidak Mahu Mengampuni Orang

Matius 18 : 21 -35

Yesus memberi satu perumpamaan di mana seorang raja hendak memeriksa akan pegawai-pegawainya. “Apabila raja mula berbuat demikian, salah seorang pegawainya yang meminjam wang beratus – ratus juta dibawa menghadap. Pegawai itu tidak mempunyai cukup wang untuk melunaskan hutangnya. Oleh itu, raja memberikan perintah supaya pegawai itu dijual sebagai hamba bersama-sama anak isterinya dan segala harta miliknya, untuk melunaskan hutang. Pegawai sujud di hadapan raja dan memohon, ‘Bersabarlah terhadap hamba. Hamba akan melunaskan segala hutang hamba.’ Raja itu kasihan kepadanya lalu menghapuskan semua hutangnya dan membebaskan dia.

Tetapi apabila pegawai itu keluar, dia berjumpa dengan seorang pegawai lagi yang berhutang wang beberapa ratus kepadanya. Dia menangkap rakannya, lalu mencekiknya dan berkata, ‘Lunaskan semua hutangmu.’ Rakan itu sujud dan memohon, ‘Bersabarlah, aku akan melunaskan hutangku!’ Tetapi pegawai itu tidak menghiraukan pemohonan rakannya. Sebaliknya, dia memberikan perintah supaya rakannya dipenjarakan sehingga dia melunaskan hutangnya.

Apabila pegawi-pegawai yang lain melihat hal itu, mereka sangat sedih lalu melaporkan segala perkara itu kepada raja. Lalu raja memanggil pegawai yang jahat itu dan bertitah, ‘Hai hamba yang jahat! Semua hutangmu sudah dihapuskan kerana kamu memohon supaya beta mengampunimu. Sepatutnya kamu mengasihani rakanmu, sebagaimana beta sudah mengasihani kamu.’ Raja sangat murka lalu pegawai yang jahat itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dilunaskan.”

Yesus mengakhiri ceritaNya dan berkata, “Demikianlah BapaKu yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripada kamu, jika kamu tidak mengampuni saudaramu dengan ikhlas.”

Aktiviti

Sediakan kertas berwarna-warni dan straw atau kayu lidi. Bantu adik-adik melukis bentuk hati pada kertas warna lalu menggunting keluar bentuk hati. Kemudian lekatkan straw atau kayu lidi di belakang kertas hati. Setiap adik-adik digalakkan membuat 5 – 6 kertas hati dan memberikan kertas hati itu kepada kawan-kawan mereka sambil meminta ampun dan mengampuni sesiapa yang menyakitkan perasaan mereka.

kk44