KK6 Yesus dan Wanita Samaria

Minggu 6   Yesus dan Wanita Samaria

Yohanes 4 : 3 – 14

Dalam perjalanan Yesus dari Yudea kembali ke Galilea Dia harus melalui Samaria. Di Samaria Yesus tiba di sebuah bandar bernama Sikhar dan di situ ada sebuah perigi yang dahulunya milik Yakub. Yesus penat lalu duduk di pinggir perigi itu. Masa itu kira-kira dua belas tengah hari dan pengikut-pengikut Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.

Seorang wanita Samaria datang untukk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.” Wanita Samaria itu menjawab, “Tuan orang Yahudi sedangkan saya orang Samaria. Mengapa tuan meminta minum daripada saya?” (Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang pernah digunakan oleh orang Samaria).

Yesus menjawab, “Jika kamu tahu akan pemberian Allah, dan siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripadaNya lalu Dia akan mengurniakan air yang memberikan hidup kepadamu.”

“Tuan,” kata wanita itu, “Tuan tidak mempunyai timba lagi pun perigi ini sangat dalam. Dari mana tuan boleh mendapat air yang memberikan hidup? Nenek moyang kami, Yakub memberikan perigi ini kepada kami. Adakah tuan menyangka bahawa tuan lebih besar daripada Yakub?”

Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi; tetapi sesiapa minum air yang Aku berikan kepadanya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Air yang akan Aku berikan itu menjadi suatu mata air yang memancar di dalam dirinya, dan memberi dia hidup sejati dan kekal.”

Aktiviti

Sediakan kayu nipis seperti kayu satay dan cawan kertas untuk adik-adik. Gunakan tali untuk mengikat kayu supaya menjadi tiang pada perigi. Potong keluar satu bentuk macam baldi, tebuk satu lubang di tengah atas dan ikat dengan tali kemudian gantungkannya pada tiang perigi. Bantu adik-adik membuat perigi mereka. Akhirnya mereka boleh menulis “Yesus mengurniakan air yang memberikan hidup kepada saya” pada cawan perigi mereka.

kk6