PL13 Pengampunan daripada Yusuf

Minggu 13    Pengampunan daripada  Yusuf

Kejadian 50:17, Lukas 17 :3-6

Saudara-saudara Yusuf yang dahulunya sangat cemburu terhadap Yusuf kerana dia anak kesayangan bapanya telah menjualkan Yusuf untuk dijadikan hamba. Yusuf melalui banyak penderitaan selepas dijual. Tetapi Allah telah mengingati Yusuf dan memberkatinya sehingga dia menjadi orang yang kedua paling penting di Mesir selepas raja Mesir. Allah telah menggunakan Yusuf untuk menyelamatkan ramai orang daripada kebuluran, termasuk saudara-saudaranya. Walau bagaimanapun, selepas bapa Yusuf meninggal dunia, saudara-saudaranya mula khuathir Yusuf akan membalas kejahatan mereka dahulu. Yusuf pun memberitahu mereka bahawa dia sudah mengampunkan mereka kerana walaupun mereka dahulu mempunyai niat jahat tetapi TUHAN telah menggunakan kejadian buruk itu untuk kebaikan manusia.

Tanya adik-adik pernahkah mereka menemui budak-budak jahat yang membuli mereka. (Contoh: merampas mainan mereka, mengejek, memukul mereka atau memarahi mereka tanpa sebab). Ingatkan adik-adik TUHAN akan mengampunkan dosa-dosa kita apabila kita minta maaf dan meninggalkan cara hidup kita yang jahat. Dengan cara yang sama, kita juga perlu memaafkan orang yang melakukan kesalahan terhadap kita. Apabila kita tidak mengampunkan mereka, kita menyimpan dendam dalam hati dan berasa marah. Selepas kita memaafkan mereka kita melepaskan kemarahan ini dan boleh bergembira kembali.

Aktiviti

Muka sedih à Muka Gembira. Lukis muka gembira dengan senyuman yang besar. Tampal stiker-stiker putih untuk menutup senyuman. Kemudian lukis mulut yang sedih atas stiker-stiker itu. Tunjukkan kepada adik-adik muka sedih. Kemudian suruh adik-adik menanggalkan stiker-stiker. Mereka akan menemui satu senyuman di bawah. Ingatkan mereka jika kita mengampunkan orang seperti Allah mengampunkan kita, perasaan dendam kita akan hilang dan kita boleh menjadi gembira. Akhirnya mereka boleh mewarnakan dan menghiaskan muka gembira itu.

plm13