PL24 Kasihkan Kaum Keluarga Kita

Minggu 24           Kasihkan Kaum Keluarga Kita

Rut 1 : 16 – 18

Pada masa dahulu ada seorang lelaki Israel yang bernama Elimelekh. Dia membawa isterinya Naomi dan dua orang anak lelakinya ke negeri Moab kerana wilayah Yahudi yang mereka duduki sedang mengalami kebuluran. Elimelekh meninggal dunia di Moab tetapi keluarganya terus tinggal di sana. Kedua-dua anak lelakinya berkahwin dengan perempuan Moab. Sepuluh tahun kemudian, kedua-dua anak lelaki juga meninggal dunia. Beberapa lama kemudian, Naomi mendengar berita bahawa TUHAN telah memberkati orang Israel dengan hasil tanaman yang baik. Dia pun bercadang untuk balik ke negeri Israel.

Naomi menyuruh dua menantunya pulang ke rumah ibu mereka kerana anak-anaknya, iaitu suami kepada menantunya telah meninggal dunia. Seorang menantunya balik ke rumah ibunya tetapi seorang lagi yang bernama Rut tidak mahu meninggalkan Naomi. Rut berkata, “Janganlah suruh saya pulang. Ke mana saja mak pergi, saya akan ikut bersama. Di mana saja mak tinggal, di situ pun saya hendak tinggal. Bangsa mak, bangsa saya dan Allah mak pun akan saya sembah.” Naomi nampak yang Rut berkeras untuk bersamannya jadi dia tidak lagi menghalang Rut daripada mengikutinya.

 

Aktiviti

TUHAN memberkati kita dengan kaum keluarga dan kawan-kawan. Kita mestilah menghargai mereka dan melayan mereka dengan baik. Kita boleh saling bantu-membantu dan bekerja sama dengan mereka. TUHAN pun hendakkan kita mengasihi sesama manusia seperti mengasihi diri kita sendiri, seperti yang tertulis di Markus 12:31. Sebagai aktiviti hari ini, ajak adik-adik buat rantai tangan. Potong straw yang berwarna-warni kepada kepingan kecil dan ikatkan bersama benang untuk menjadikan rantai tangan. Ingatkan adik-adik untuk menjalinkan hubungan yang erat dengan kaum keluarga dan kawan-kawan seperti straw dalam rantai tangan.

p24