PL33 TUHAN Bercakap dengan Suara yang Lembut

plm33Minggu 33 TUHAN Bercakap dengan Suara yang Lembut

1 Raja-Raja 19:11 – 18

Pada suatu masa, ketika Elia berasa kesunyian, TUHAN menyuruhnya berdiri di hadapanNya di puncak gunung kerana Dia akan berlalu di sana. Elia pun berdiri di gunung itu. Angin ribut yang kencang membelah gunung tetapi TUHAN tidak di situ. Selepas itu terjadinya gempa bumi tetapi TUHAN juga tiada di situ. Selepas itu api menyala tetapi TUHAN pun tidak di situ. Kemudian, suasana menjadi senyap, lalu Elia terdengar suara yang lembut bagaikan bisikan. TUHAN, Allah yang Maha Kuasa berfirman dengan Elia dan memberinya arahan serta galakan.

TUHAN boleh berfirman dengan kita dengan banyak cara. Salah satu daripadanya ialah dalam suara yang lembut. Kita perlu melatih diri mendengar suara TUHAN dengan meluangkan masa bersamaNya. Kita boleh mencari suatu tempat yang sunyi untuk berdoa kepada TUHAN dan berlatih mendengar suaraNya. Apabila kita berdoa, kita bukan sahaja memberitahu TUHAN perasaan kita, pujian atau kehendak kita tetapi kita boleh mendiamkan diri dan mendengar dan mencari arahan dan galakan daripada TUHAN.

 

Aktiviti

Ambil atau buat beg kertas dan lipat sekali sepertimana yang ditunjukkan dalam gambarajah berikut. Lukis muka Elia pada beg kertas dengan satu mulut muram yang kecil. Kemudian buka lipat itu dan lukis satu senyuman yang besar. Beritahu adik-adik pada mulanya Elia berasa sedih tetapi selepas TUHAN berfirman kepadanya, Elia telah diberi tunjuk ajar dan berasa gembira kembali. Suruh adik-adik mewarnakan gambar kemudian tunjukkan mereka bagaimana beg kertas itu boleh digunakan sebagai boneka dengan memasukkan dan menggerakkan tangan kita di dalam beg.