PL44 Yunus Membantah Perintah TUHAN

Minggu 44           Yunus Membantah Perintah TUHAN

Yunus 1

Pada suatu masa TUHAN berfirman kepada Yunus dan memesannya untuk pergi ke kota Niniwe untuk membawa pesananNya kepada orang Niniwe. Tetapi Yunus tidak mahu pergi. Dia melarikan diri dan mengambil kapal yang menuju ke arah yang bertentangan dengan kota Niniwe. TUHAN mendatangkan angin kencang dan ribut di laut yang memukul kapal sehingga hampir hancur. Semua orang dalam kapal berasa takut dan berdoa kepada dewa masing-masing untuk menyelamatkan mereka kecuali Yunus yang sedang tidur.

Kapten kapal mengecutkan Yunus daripada tidurnya dan menyuruh dia berdoa kepada dewanya. Setelah semua orang dalam kapal itu membuang undi, mereka mendapati bencana itu disebabkan oleh Yunus. Yunus mengaku bencana itu disebabkan olehnya kerana dia telah melarikan dirinya daripada TUHAN, Allah di syurga. Dia menyuruh anak-anak kapal membuangkanny ke dalam laut supaya ribut boleh berhenti. Mereka enggan berbuat demikian tetapi apabila angin semakin kencang dan laut semakin bergelora, mereka terpaksa membuang Yunus ke dalam laut. Dengan serta-merta angin berhenti dan laut menjadi tenang kembali. Anak-anak kapal mempersembahkan korban kepada TUHAN Yunus kerana kagum dengan kuasaNya.

Sementara itu TUHAN menyuruh ikan besar menelan Yunus dan dia berada dalam perut ikan selama tiga hari tiga malam sehingga dia meminta maaf daripada TUHAN. Kita dapat melihat betapa besar kuasa TUHAN yang boleh mengawal angin dan air, dan betapa besar kasihNya kerana apabila Yunus dibuang ke dalam laut, TUHAN telah menyuruh ikan besar untuk menelan dan menyelamatkan nyawanya. Setelah Yunus meminta maaf TUHAN menyuruh ikan besar itu memuntahkan Yunus keluar di darat.

Aktiviti

Beri adik-adik kertas A4 yang kosong dan ajak mereka melukis dan mewarnakan Yunus dalam perut ikan besar. Yunus menderita selama tiga hari tiga malam kerana dia tidak mematuhi arahan TUHAN tetapi apabila dia insaf dan meminta maaf TUHAN telah memaafkannya.